“Berlindunglah kamu kepada Allah daripada seksaan kubur.” Baginda mengulangi kata-katanya sebanyak tiga kali.
Kemudian Baginda bersabda lagi, “Sesungguhnya seorang Mukmin ketika hendak meninggal dunia, maka turun kepadanya malaikat yang cerah wajahnya bagaikan matahari, sambil membawa kafan daripada kafan-kafan syurga dan haruman daripada haruman syurga. Malaikat itu duduk di hadapannya sejauh pandangan mata. Kemudian datang malaikat maut duduk berhampiran kepalanya seraya berseru: ‘Wahai roh yang tenang dan baik, keluarlah menuju pengampunan Allah dan redha-Nya.’
Nabi Muhammad saw. bersabda lagi, “Kemudian keluarlah rohnya mengalir bagaikan titisan dari mulut kendi bekas air, maka langsung diterima dan dimasukkan ke dalam kafan serta diberi haruman dan keluar daripadanya semerbak harum bagaikan kasturi yang paling harum di atas bumi. Setelah itu dia dibawa naik ke langit. Setiap kali dia melalui rombongan malaikat maka ditanya, ‘Roh siapakah yang harum ini?’

Maka dijawab, ‘Roh fulan bin fulan (dengan sebaik-baik sebutan namanya di dunia, hingga sampai ke langit), maka bukakanlah baginya.’
Maka dibukakanlah pintu langit baginya dan disambut oleh penduduknya dan pada tiap-tiap langit dihantar oleh malaikat Muqarrabun. Roh itu dibawa naik ke langit yang atas hingga sampai ke langit ketujuh.
Maka Allah berfirman: ‘Catatlah kitab hamba-Ku ini di illiyyin. Kemudian kembalikan dia ke bumi, sebab daripadanya Aku jadikan, dan di dalamnya Aku kembalikan dan daripadanya pula akan Aku keluarkan pada ketikanya.’ (lihat Thaha 20: 55)
Maka kembalilah roh tadi ke dalam jasadnya di dalam kubur, kemudian datang kepadanya dua malaikat yang bertanya, ‘Siapa Tuhanmu?’
Maka dijawab,‘Allah Tuhanku.’
Lalu ditanya, ‘Apakah agamamu?’
Maka dijawab, ‘Agamaku Islam’
Lalu ditanya lagi, ‘Bagaimana pendapatmu tentang orang yang diutus di tengah-tengah kamu ini?’
Dan dijawab, ‘Dia adalah utusan Allah.’
Lalu ditanya, ‘Bagaimanakah kamu mengetahuinya?’
Dia menjawab, ‘Saya membaca kitab Allah lalu beriman dan membenarkannya.’
Maka terdengar suara, ‘Benar hamba-Ku, maka berikan kepadanya hamparan dari syurga serta pakaian syurga. Bukakan untuknya pintu yang menuju ke syurga, supaya dia mendapat bau syurga dan udara syurga, serta luaskan kuburnya seluas pandangan mata.’
Kemudian datang kepadanya seorang yang bagus wajahnya dan harum baunya sambil berkata, ‘Terimalah khabar gembira, ini waktu yang telah dijanjikan Allah kepadamu.’
Maka dia pun bertanya, ‘Siapakah kamu?’
Jawabnya, ‘Saya amalanmu yang baik.’
Lalu dia berkata, ‘Ya Tuhan, segerakan hari kiamat supaya segera saya bertemu dengan keluargaku dan kawan-kawanku.’ (Hadits Riwayat Ahmad)
(Dipetik daripada buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH)
No comments:
Post a Comment