Thursday, November 7, 2013

Di sebalik kematian



Kematian bukanlah akhir hidup manusia.
Ia hanyalah pintu keluar daripada dunia.
Menuju kediaman berikutnya.
Dunia ini menyibukkan dan membuat lupa.
Sehingga ramai yang alpa.
Untuk apa hidup itu sebenarnya.
Tak kurang pula yang leka.
Tak sedia untuk hidup setelahnya.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:
"Di balik kematian ada dua tempat kediaman
Kalau engkau terlepas dari tempat yang pertama
Engkau akan berakhir di tempat yang kedua"
Tiada tempat yang ketiga
Tiada pula yang boleh membeli dengan hartanya
Satu kediaman bernama Surga
Yang lainnya bernama Neraka

Ramai yang nak Surga
Tapi berkelakuan ahli Neraka
Ramai nak surga dunia
Tapi mengundang Neraka tak berkira

Siapa yang kejar dunia untuk akhiratnya
Dia beruntung sepanjang masa
Jangan cintai dunia, cintai Pemiliknya
Kerana Dia sahaja yang boleh memberi bahagia
Bahagia yang sebenarnya
Dia sahaja, tiada selainnya


Syed Alwi Alatas
KL, 8 Nov 2013

Wednesday, November 6, 2013

Tak belajar pada kematian

Kubur dan kematian seharusnya boleh menjadi pengingat bagi kita untuk sedar dan menjauhi hal-hal yang negatif. Namun ada juga sebahagian manusia yang tak peduli dengan kematian, walaupun mereka berada didekatnya.

Pada bulan September 2013 lepas, ada seorang bernama Soleh yang meninggal dunia. Sayang namanya tidak menggambarkan perilakunya. Ia wafat setelah pesta minum arak dan dikuburkan beberapa waktu kemudian. Beberapa saat sebelum Soleh dikuburkan, tujuh orang lainnya melakukan pesta minum arak pula di lokasi kuburan. Sebahagian dari ketujuh orang itu bekerja sebagai penggali kubur. Selepas menguburkan jenazah Soleh, mereka kembali melanjutkan pesta minum arak di tempat itu. Malam itu juga, beberapa orang yang meminum arak tersebut masuk ke dalam hospital. Satu di antara mereka meninggal dunia selepasnya.

Mereka buat maksiat di tempat yang seharusnya mengingatkan mereka pada kematian. Kalau kematian sudah tak boleh menyedarkan dan menginsafkan, apa lagi yang nak diharapkan?

Ya Allah, jauhkan kami daripada Su'ul Khatimah.

http://jogja.tribunnews.com/2013/09/18/tujuh-orang-pesta-miras-oplosan-di-kompleks-makam-lima-tewas


Saturday, October 12, 2013

Perjalanan roh manusia selepas kematian [bagian 2]

Sambungan hadits sebelumnya:

Nabi Muhammad saw. bersabda, “Adapun hamba yang kafir, jika hendak meninggal dunia dan menghadapi akhirat, maka turun dari langit malaikat yang hitam wajahnya dan hitam pakaiannya, lalu duduk di hadapannya sejauh pandangan mata. Kemudian datang malaikat maut yang duduk di tepi kepalanya sambil berkata: ‘Wahai roh yang jahat, keluarlah kamu menuju murka Allah.’

Maka rohnya tersebar ke semua anggota badannya (kerana takut akan kematian, pen.). Kemudian dicabut roh itu bagaikan dicabut besi daripada bulu yang basah, sehingga terputus semua urat dan ototnya. Lalu roh itu dimasukkan ke dalam kain hitam, dan dibawa pergi dengan bau yang sangat busuk bagaikan bangkai. Dia dibawa naik dan setiap kali melalui rombongan malaikat akan ditanya, ‘Roh siapakah yang jahat dan busuk itu?’

Maka dijawab, ‘Roh fulan bin fulan (dengan seburuk-buruk sebutan namanya semasa di dunia hingga, sampai ke langit dunia), maka bukakanlah baginya.’ Tetapi tidak dibuka (pintu langit) untuknya.

Kemudian Nabi Muhammad saw. membaca ayat yang bermaksud: Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. (Al-A’raf 7: 40)

Kemudian diperintahkan, ‘Tulislah kitab orang itu dalam sijjin.’

Setelah itu dilemparkan rohnya itu begitu sahaja seperti yang disebutkan di dalam ayat yang bermaksud: ... dan sesiapa yang menyekutukan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh. (Al-Haj 22: 31)

Kemudian dikembalikan roh itu ke dalam jasadnya di dalam kubur, dan didatangi oleh dua malaikat yang mendudukkannya lalu bertanya, ‘Siapa Tuhanmu?’

Maka dijawab, ‘Saya tidak tahu.’

Lalu ditanya, ‘Apakah agamamu?’

Maka dijawab, ‘Saya tidak tahu.’

Ditanya lagi, ‘Bagaimana pendapatmu tentang orang yang diutuskan di tengah-tengah kamu ini?’

Dan dijawab, ‘Saya tidak tahu.’

Maka terdengarlah satu seruan dari langit, ‘Hamba-Ku berdusta. Hamparkan untuknya hamparan dari neraka dan bukakan baginya pintu neraka, biar terasa olehnya panas udara neraka.’ Kemudian disempitkan kubur sehingga terhimpit dan patah tulang-tulang rusuknya. Selepas itu datang kepadanya seorang yang buruk wajahnya dan busuk baunya sambil berkata, ‘Sambutlah hari yang sangat buruk bagimu, inilah waktu yang telah diperingatkan oleh Allah kepadamu.’

Lalu dia bertanya, ‘Siapakah kamu?’

Jawabnya, ‘Aku amalanmu yang buruk.’

Lalu dia berkata, ‘Ya Tuhan, jangan percepatkan kiamat, ya Tuhan jangan percepatkan kiamat.’ (Hadits Riwayat Ahmad)

(Dipetik daripada buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH)

Friday, October 11, 2013

Perjalanan Roh manusia selepas kematian [bagian 1]

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada al-Baraa’ bin Azib r.a.: Kami bersama Nabi Muhammad keluar menghantar jenazah seorang Sahabat Ansar. Ketika kami sampai di kubur dan jenazah belum dimasukkan ke dalam liang lahad, Nabi Muhammad duduk dan kami pun duduk di sekeliling Baginda dalam keadaan diam dan menundukkan kepala, seolah-olah ada burung di atas kepala kami. Nabi Muhammad menguis-nguis tanah dengan ranting yang ada di tangannya, kemudian Baginda mengangkat kepala lalu bersabda:

“Berlindunglah kamu kepada Allah daripada seksaan kubur.” Baginda mengulangi kata-katanya sebanyak tiga kali.

Kemudian Baginda bersabda lagi, “Sesungguhnya seorang Mukmin ketika hendak meninggal dunia, maka turun kepadanya malaikat yang cerah wajahnya bagaikan matahari, sambil membawa kafan daripada kafan-kafan syurga dan haruman daripada haruman syurga. Malaikat itu duduk di hadapannya sejauh pandangan mata. Kemudian datang malaikat maut duduk berhampiran kepalanya seraya berseru: ‘Wahai roh yang tenang dan baik, keluarlah menuju pengampunan Allah dan redha-Nya.’

Nabi Muhammad saw. bersabda lagi, “Kemudian keluarlah rohnya mengalir bagaikan titisan dari mulut kendi bekas air, maka langsung diterima dan dimasukkan ke dalam kafan serta diberi haruman dan keluar daripadanya semerbak harum bagaikan kasturi yang paling harum di atas bumi. Setelah itu dia dibawa naik ke langit. Setiap kali dia melalui rombongan malaikat maka ditanya, ‘Roh siapakah yang harum ini?’



Maka dijawab, ‘Roh fulan bin fulan (dengan sebaik-baik sebutan namanya di dunia, hingga sampai ke langit), maka bukakanlah baginya.’

Maka dibukakanlah pintu langit baginya dan disambut oleh penduduknya dan pada tiap-tiap langit dihantar oleh malaikat Muqarrabun. Roh itu dibawa naik ke langit yang atas hingga sampai ke langit ketujuh.

Maka Allah berfirman: ‘Catatlah kitab hamba-Ku ini di illiyyin. Kemudian kembalikan dia ke bumi, sebab daripadanya Aku jadikan, dan di dalamnya Aku kembalikan dan daripadanya pula akan Aku keluarkan pada ketikanya.’ (lihat Thaha 20: 55)

Maka kembalilah roh tadi ke dalam jasadnya di dalam kubur, kemudian datang kepadanya dua malaikat yang bertanya, ‘Siapa Tuhanmu?’ 

Maka dijawab,‘Allah Tuhanku.’ 

Lalu ditanya, ‘Apakah agamamu?’ 

Maka dijawab, ‘Agamaku Islam’ 

Lalu ditanya lagi, ‘Bagaimana pendapatmu tentang orang yang diutus di tengah-tengah kamu ini?’ 

Dan dijawab, ‘Dia adalah utusan Allah.’

Lalu ditanya, ‘Bagaimanakah kamu mengetahuinya?’ 

Dia menjawab, ‘Saya membaca kitab Allah lalu beriman dan membenarkannya.’ 

Maka terdengar suara, ‘Benar hamba-Ku, maka berikan kepadanya hamparan dari syurga serta pakaian syurga. Bukakan untuknya pintu yang menuju ke syurga, supaya dia mendapat bau syurga dan udara syurga, serta luaskan kuburnya seluas pandangan mata.’

Kemudian datang kepadanya seorang yang bagus wajahnya dan harum baunya sambil berkata, ‘Terimalah khabar gembira, ini waktu yang telah dijanjikan Allah kepadamu.’

Maka dia pun bertanya, ‘Siapakah kamu?’ 

Jawabnya, ‘Saya amalanmu yang baik.’ 

Lalu dia berkata, ‘Ya Tuhan, segerakan hari kiamat supaya segera saya bertemu dengan keluargaku dan kawan-kawanku.’ (Hadits Riwayat Ahmad)

(Dipetik daripada buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH)


Wednesday, October 9, 2013

Rasa sakit kematian

Inilah yang akan dialami oleh setiap orang ketika kematiannya!

Rasulullah bersabda, “(Rasa sakit kematian) itu setara dengan tiga ratus pukulan pedang.” (Riwayat Ibnu Abid Dunya)

Tiga ratus pukulan pedang! Dapatkah anda membayangkannya? Mampukah kita menanggungnya? Satu pukulan pedang pun sudah begitu menyakitkan. Sepuluh pukulan pedang sudah tentu akan membuat kita jatuh terkapar menanti ajal. Seratus pukulan pedang pasti akan membuat tubuh kita hancur berkecai. Bagaimana dengan tiga ratus pukulan? Siapa yang dapat menahannya?

Malah sebenarnya ia mungkin lebih sakit daripada itu. Kerana rasa sakit yang dialami oleh seseorang berbeza, bergantung kepada amalannya semasa hidup. Kalau tiga ratus pukulan pedang pun kita sudah tidak dapat membayangkannya, bagaimana kalau lebih daripada itu?

Ali bin Abi Thalib r.a. biasa memotivasi orang untuk berperang dengan berkata, “Sekiranya kamu tidak berperang, maka kamu akan mati (secara normal). Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, seribu pukulan pedang lebih ringan untuk ditanggung dibandingkan dengan kematian seseorang di atas katilnya.”

Allahu Akbar! Seribu pukulan pedang pun masih lebih ringan daripada sakaratulmaut. Ia bukan lagi seratus pukulan pedang. Ia bukan dua ratus kelaran pedang. Ia bukan tiga ratus tusukan pedang. Ia bukan empat ratus robekan pedang. Ia bukan lima ratus, bukan enam ratus, bukan tujuh ratus. Ia seribu pukulan pedang! Bahagian tubuh kita yang manakah yang tidak akan terkena pukulan sebanyak itu? Bahagian mana yang tidak akan mengalami rasa sakit? Adakah orang yang mampu bersabar menahan kesakitan seperti itu?

Malah ia lebih menyakitkan daripada seribu pukulan pedang!

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami. Tolonglah kami menghadapi rasa sakit yang tidak mampu kami menanggungnya.

(Petikan daripada buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH)

Wednesday, October 2, 2013

Berlumba ... sampai ke kubur

Manusia ini memang aneh. Mereka tidur dan bangun daripada tidur setiap hari, tapi sering lupa dengan kematian dan kebangkitan selepasnya. Mereka bekerja pada masa muda dan menabung untuk hari tua, tetapi malas beramal soleh untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Sedangkan dunia ini hanyalah tempat beramal dan akhirat itulah tempat memetik hasil. Tetapi ramai manusia tidak peduli dengan semua itu. Seolah-olah mereka ingin memetik semua hasilnya di dunia dan berlumba-lumba mengejar kesenangan duniawi. Mereka memburu nikmat demi nikmat, hidup dalam senda gurau, tenggelam dalam limpahan harta tanpa mengambil kira halal dan haramnya. Apabila tiba-tiba saja kematian datang, mereka tersentak dengan kelalaian mereka selama ini. Kematian telah datang dan mereka belum membuat sebarang persediaan untuk menghadapinya. Mereka tidak punya cukup bekal dan tabungan untuk kehidupan di akhirat.

Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. (At-Takatsur 102: 1-2)

Daripada buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH

Monday, September 30, 2013

Kata pengantar buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH

Buku ini agak berbeza berbanding buku-buku kami sebelumnya. Buku-buku Sebelumnya banyak mengajak pembaca untuk tersenyum dan menjadi orang yang bahagia. Buku-buku Bila Allah Menduga Kita (Mustread), Senyumlah (Galeri Ilmu), Mudahkan Jangan Susahkan (Galeri Ilmu), dan Bersyukurlah Kerana-Nya (Galeri Ilmu), mengajak pembaca melihat masalah dan ujian yang dilalui secara positif dan melihatnya melalui sudut pandang yang tepat, sehingga mereka mampu tersenyum walaupun sedang menghadapi ujian yang berat. Ataupun sekurang-kurangnya mereka tidaklah sampai berputus asa. Selain itu, pembaca juga diajak untuk melihat nikmat-nikmat yang ada pada dirinya dengan perasaan syukur. Semua itu diharap dapat menghilangkan perasaan susah hati dan mendatangkan kebahagiaan.

Apabila membaca buku ini, mungkin pembaca akan berasa susah untuk tersenyum. Mengapa begitu? Kerana buku ini membicarakan tentang kematian. Kita tidak mampu tersenyum ketika berhadapan dengan kematian. Ia terlalu serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia terlalu penting dan tidak boleh ditangguhkan. Jadi kita kena belajar tentangnya dan berusaha untuk sentiasa mengingatinya. Itulah sebabnya saya menulis buku ini.

Meskipun begitu, buku ini tetap ada kaitan dengan buku-buku sebelumnya, iaitu semuanya berkaitan dengan ujian. Kematian juga termasuk ujian. Kehidupan dan kematian dicipta oleh Allah untuk menguji manusia, sebagaimana yang disebut dalam ayat kedua surah al-Mulk. Kematian adalah ujian yang terakhir dan terpenting untuk manusia. Kerana itulah kita perlu selalu mengingatinya.

Dengan selalu mengingati mati, insya-Allah kita akan selalu ingat ke arah mana tujuan kita yang sebenarnya. Dengan mengingati mati, insya-Allah kesombongan akan hilang daripada diri kita, kerana tidak ada manusia yang boleh sombong di hadapan kematian.... Semoga buku ini dapat membantu pembaca memperoleh lebih banyak kebaikan dengan memahami dan mengingati mati.

Jangan lupa untuk mendapatkan buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH di pasaran Malaysia.