Buku ini agak berbeza berbanding buku-buku kami sebelumnya. Buku-buku Sebelumnya banyak mengajak pembaca untuk tersenyum dan menjadi orang yang bahagia. Buku-buku Bila Allah Menduga Kita (Mustread), Senyumlah (Galeri Ilmu), Mudahkan Jangan Susahkan (Galeri Ilmu), dan Bersyukurlah Kerana-Nya (Galeri Ilmu), mengajak pembaca melihat masalah dan ujian yang dilalui secara positif dan melihatnya melalui sudut pandang yang tepat, sehingga mereka mampu tersenyum walaupun sedang menghadapi ujian yang berat. Ataupun sekurang-kurangnya mereka tidaklah sampai berputus asa. Selain itu, pembaca juga diajak untuk melihat nikmat-nikmat yang ada pada dirinya dengan perasaan syukur. Semua itu diharap dapat menghilangkan perasaan susah hati dan mendatangkan kebahagiaan.
Apabila membaca buku ini, mungkin pembaca akan berasa susah untuk tersenyum. Mengapa begitu? Kerana buku ini membicarakan tentang kematian. Kita tidak mampu tersenyum ketika berhadapan dengan kematian. Ia terlalu serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia terlalu penting dan tidak boleh ditangguhkan. Jadi kita kena belajar tentangnya dan berusaha untuk sentiasa mengingatinya. Itulah sebabnya saya menulis buku ini.
Meskipun begitu, buku ini tetap ada kaitan dengan buku-buku sebelumnya, iaitu semuanya berkaitan dengan ujian. Kematian juga termasuk ujian. Kehidupan dan kematian dicipta oleh Allah untuk menguji manusia, sebagaimana yang disebut dalam ayat kedua surah al-Mulk. Kematian adalah ujian yang terakhir dan terpenting untuk manusia. Kerana itulah kita perlu selalu mengingatinya.
Dengan selalu mengingati mati, insya-Allah kita akan selalu ingat ke arah mana tujuan kita yang sebenarnya. Dengan mengingati mati, insya-Allah kesombongan akan hilang daripada diri kita, kerana tidak ada manusia yang boleh sombong di hadapan kematian.... Semoga buku ini dapat membantu pembaca memperoleh lebih banyak kebaikan dengan memahami dan mengingati mati.
Jangan lupa untuk mendapatkan buku MENCARI HUSNUL KHATIMAH di pasaran Malaysia.

No comments:
Post a Comment